Keterangan
Rizab kerugian pinjaman (LLR) merupakan dana yang diuntukkan sebagai jaminan kewangan untuk mengurangkan kemungkinan kerugian akan datang bagi pinjaman yang disebabkan oleh kegagalan pembayaran oleh peminjam. Dana sedemikian memberikan perlindungan risiko separa kepada pemberi pinjaman kerana rizab akan menampung jumlah kerugian pinjaman yang dipratetap. Dana tersebut bertindak sebagai alat peningkatan kredit yang berkesan, memperkukuh profil risiko kredit pemberi pinjaman atau pelabur secara strategik untuk mendapatkan terma pembayaran balik hutang yang lebih baik. Dengan bertindak sebagai jaring keselamatan kewangan, LLR dapat meningkatkan profil risiko kredit dan membuka jalan untuk lebih banyak peluang pembiayaan terangkum yang dapat mendorong pembangunan dan inovasi mampan.
Dalam program LLR, agensi kerajaan boleh bekerjasama dengan institusi kewangan untuk mengubah suai kriteria penajaan jamin dan menerima lebih banyak risiko daripada biasa supaya institusi kewangan lebih selesa memberikan pinjaman kepada sektor baharu atau pada kadar faedah yang lebih rendah dan tempoh pembayaran balik yang lebih lama. LLR terbukti sangat berguna dalam senario yang membolehkan institusi kewangan membuat berbilang pinjaman kecil bagi projek, seperti penaikan taraf untuk penambahbaikan kecekapan tenaga. Dengan sejumlah kecil dana negara disimpan sebagai rizab untuk melindungi daripada risiko, sektor swasta dan awam dapat bekerjasama untuk menghasilkan portfolio pinjaman yang memberikan pembiayaan berskala kecil.
Melalui LLR, kerajaan negara atau perbandaran tempatan dapat meluaskan capaian pembiayaan bagi penyelesaian bandar pintar baharu seperti penaikan taraf kecekapan tenaga atau projek tenaga boleh dibaharui berskala kecil. Sebagai contoh, LLR boleh menyokong program pinjaman tenaga bersih yang diurus secara bersama oleh kerajaan dan rakan kongsi institusi kewangan. Ciri peningkatan kredit LLR boleh membawa kepada syarat pinjaman yang lebih baik, seperti pengurangan kadar faedah atau tempoh pembayaran balik yang lebih lama. Selain itu, LLR memainkan peranan penting dalam peluasan capaian kewangan dengan membenarkan rakan kongsi institusi kewangan mengubah kriteria penajaan jamin untuk meletakkan ambang risiko yang lebih tinggi, yang boleh menjadi sangat berguna bagi projek bandar pintar yang pemberi pinjaman mungkin enggan memberikan pinjaman oleh sebab pengalaman yang terhad dalam projek sedemikian atau pemahaman yang terhad tentang teknologi yang terlibat.
Syarat Pemungkin dan Pertimbangan Utama
- Proses pemerolehan bersaingan Program LLR harus melibatkan proses pemerolehan bersaingan untuk mengenal pasti rakan kongsi institusi kewangan yang sesuai untuk disokong. Proses ini merangkumi penghasilan permintaan komprehensif bagi usul daripada institusi kewangan yang harus menyertakan maklumat tentang terma pinjaman, keutamaan struktur LLR dan formula perkongsian risiko, garis panduan penajaan jamin pinjaman, keupayaan pemasaran pinjaman, keupayaan pengurusan pinjaman, kakitangan dan kelayakan institusi kewangan tersebut.
- Penstrukturan LLR. LLR mengambil “pendekatan portfolio” supaya kerajaan yang menyediakan LLR berbuat demikian atas dasar keseluruhan portfolio pinjaman yang disokong. Sebagai contoh, rizab kerugian sebanyak 5% bagi portfolio pinjaman bernilai $60 juta bermaksud saiz rizab kerugian ialah $3 juta. Semasa penstrukturan, kerajaan boleh menetapkan saiz rizab supaya lebih tinggi daripada anggaran kerugian pinjaman portfolio. Sebagai contoh, jika anggaran kerugian ialah 1.5% daripada portfolio, LLR boleh ditetapkan kepada 5-10%, bergantung pada rundingan antara kerajaan dengan rakan kongsi institusi kewangan. Formula perkongsian risiko muktamad mestilah dipersetujui antara kerajaan dengan institusi kewangan yang melakukan pemberian pinjaman kerana LLR tidak menyingkirkan risiko daripada institusi kewangan tetapi mengurangkan risiko. Sebagai contoh, pasaran sasaran boleh menjadi portfolio yang terdiri daripada sebilangan besar transaksi kecil hingga ratusan atau ribuan pinjaman bagi setiap pemberi pinjaman. Kerugian pertama boleh ditanggung oleh LLR, sehingga had LLR dan mengikut formula perkongsian risiko yang dipersetujui.
Kemungkinan Cabaran
- Risiko bahaya moral. Program LLR yang tidak dirancang dengan baik dengan pemerhatian yang tidak mencukupi boleh meningkatkan risiko tingkah laku bahaya moral bagi pihak rakan kongsi institusi kewangan dan meningkatkan pinjaman tidak berbayar jika pinjaman dibayar tanpa perlindungan dan semakan yang diperlukan. Penghasilan garis panduan penajaan jamin dan kewajipan kontrak yang jelas, serta pelaksanaan mekanisme pemerhatian yang berkesan penting untuk menghalang pihak daripada terlibat dalam tingkah laku penanggungan risiko yang berlebihan.
- Cabaran dalam menjajarkan faedah dalam kalangan pihak berkepentingan. Penstrukturan LLR boleh menimbulkan cabaran dari segi penjajaran faedah dalam kalangan pelbagai pihak berkepentingan yang terlibat. Sebagai contoh, penentuan dan perundingan formula perkongsian risiko dan terma antara kerajaan negara dengan institusi kewangan boleh menjadi proses yang rumit dan memerlukan pertimbangan teliti untuk mencari keseimbangan antara pengekalan kestabilan kewangan sambil meluaskan capaian kepada modal.
- Kekurangan pengalaman sektor awam dalam merancang LLR. Kerajaan tempatan mungkin mempunyai pengalaman yang terhad dengan mekanisme kewangan sedemikian yang boleh membawa kepada cabaran seperti penganggaran yang berlebihan bagi rizab, dengan itu terlalu menyekat dana atau penganggaran kurang yang menimbulkan risiko dana yang tidak mencukupi sekiranya terdapat kegagalan pembayaran. Kerajaan tempatan juga mungkin menghadapi halangan semasa mewujudkan rangka kerja kerjasama yang diperlukan untuk program LLR, termasuk penjajaran objektif dengan rakan kongsi sektor swasta, penguruan pematuhan kawal selia dan pemastian struktur tadbir urus yang telus dan berkesan. Cabaran ini memerlukan pendekatan teliti terhadap pembinaan keupayaan, penglibatan pihak berkepentingan dan mungkin penerimaan amalan terbaik daripada entiti atau sektor yang lebih berpengalaman untuk memastikan pelaksanaan dan pengurusan program LLR yang berjaya.
Kemungkinan Manfaat
- Menyokong sektor atau jenis produk kewangan yang baharu. Sebagai mekanisme peningkatan kredit, LLR dapat memberikan insentif kepada institusi kewangan untuk menawarkan terma pinjaman yang lebih baik, seperti kadar faedah yang lebih rendah dan tempoh pinjaman yang lebih lama. Perkara ini membolehkan institusi kewangan mengembangkan kemudahan kredit kepada sektor baharu yang sebelum ini mungkin tidak memenuhi kriteria risiko atau melancarkan jenis produk kewangan yang baharu.
- Memudahkan capaian kepada modal bagi projek yang lebih kecil. Pendekatan portfolio dalam struktur LLR biasanya terdiri daripada ribuan pinjaman yang lebih kecil. Perkara ini memastikan kepelbagaian dalam portfolio dan memberikan capaian kepada modal bagi projek pinjaman yang lebih kecil yang mungkin terlepas pandang oleh struktur pembiayaan yang lebih tradisional, dengan itu menggalakkan landskap perkhidmatan kewangan yang lebih terangkum dan memberikan impak.
Sumber/Maklumat Tambahan
- US Energy Department (n.a.). Loan loss reserve funds. Tersedia di: https://www.energy.gov/scep/slsc/loan-loss-reserve-funds
- American Council for an Energy Efficient Economy (2017). Loan loss reserves for energy efficiency financing programs. Tersedia di: https://www.aceee.org/toolkit/2017/02/loan-loss-reserves-energy-efficiency-financing-programs
- Coalition for Green Capital (2016). Green bank product and activity overview. Tersedia di: https://coalitionforgreencapital.com/wp-content/uploads/2016/06/CGC-Green-Bank-Product-Activity-Overview.pdf
- Center for Urban Innovation at Arizona State University (n.a.). Smart Cities Financing Guide. Tersedia di: https://www.nrpa.org/uploadedFiles/nrpaorg/Professional_Development/Innovat ion_Labs/Smart%20Cities%20Financing%20Guide.pdf