Keterangan
Sekuriti asas aset merupakan jenis alat pelaburan dengan kumpulan aset yang menjana pendapatan, seperti pinjaman, digabungkan dan ditukarkan kepada sekuriti boleh niaga. Syarikat atau organisasi akan menjual pinjaman atau hutang kepada pengeluar, iaitu institusi kewangan, yang kemudiannya menggabungkan hutang menjadi portfolio yang akan dijual kepada pelabur. Proses pengumpulan aset tidak cair menjadi instrumen kewangan boleh niaga (sekuriti) dipanggil pensekuritian. Pulangan sekuriti pelabur diambil daripada aliran tunai aset pendasar. ABS boleh digunakan untuk membiayai atau membiayai semula pinjaman bagi aset sedia ada. ABS menarik kerana ABS menyediakan aliran yang stabil bagi pelabur yang berorientasikan pendapatan dengan premium hasil yang boleh menjadi lebih tinggi daripada bentuk tradisional instrumen pendapatan tetap, seperti bon kerajaan atau korporat. Dalam konteks pembiayaan bandar pintar, ABS terutamanya dikeluarkan untuk membiayai projek hijau atau pintar iklim berskala kecil dengan pinjaman bagi projek hijau atau pintar iklim sebagai aset pendasar.
Description of Asset-backed securities. Available at: https://corporatefinanceinstitute.com/resources/fixed-income/asset-backed-securities-abs/
Syarat Pemungkin dan Pertimbangan Utama
- Persekitaran kawal selia pemungkin.Persekitaran kawal selia pemungkin yang menyokong penggunaan ABS adalah penting. Perkara ini termasuklah adanya peraturan yang mengawal transaksi pensekuritian, perlindungan pelabur dan keperluan pendedahan untuk ketelusan pasaran. Kepastian kawal selia juga diperlukan untuk memupuk minat pelabur terhadap ABS.
- Rangka kerja untuk menstandardkan kontrak pinjaman bagi projek bandar hijau atau pintar. Rangka kerja yang mewujudkan pendekatan sistematik untuk mengkategorikan dan menaksir pinjaman bagi projek bandar hijau atau pintar akan memastikan bahawa modal yang diperoleh daripada ABS digunakan untuk menyokong peralihan ke arah bandar yang lebih hijau dan lebih pintar. Oleh itu, usaha sektor awam bekerjasama rapat dengan penggiat pasaran adalah berguna untuk menstandardkan kontrak pinjaman bagi projek bandar hijau atau pintar.
- Penggunaan mekanisme peningkatan kredit. Penggunaan mekanisme peningkatan kredit seperti jaminan dapat menambah baik penarafan kredit ABS supaya kelihatan lebih menarik bagi pelabur.
Kemungkinan Cabaran
- Kerumitan penstrukturan cagaran. Cagaran pendasar dalam ABS biasanya melibatkan pelbagai aset. Penilaian dan penstrukturan aset ini amat mencabar disebabkan oleh pelbagai struktur pembayaran, kualiti kredit dan sifat lain.
- Keyakinan pelabur dan usaha wajar. Pembinaan minat dan keyakinan pelabur terhadap pasaran ABS adalah penting. Ketelusan dalam pendedahan maklumat yang berkaitan dengan aset pendasar, faktor risiko dan struktur sekuriti adalah penting untuk menarik minat pelabur dan mengekalkan integriti pasaran.
- Kepekaan terhadap keadaan pasaran dan ekonomi, serta risiko yang lebih tinggi ABS peka terhadap keadaan pasaran dan ekonomi. Faktor seperti kadar faedah, kemerosotan ekonomi dan tingkah laku pengguna boleh memberikan kesan terhadap prestasi aset pendasar dan mempengaruhi keseluruhan struktur sekuriti. ABS juga tertakluk pada lebih banyak risiko kredit, kecairan dan nilai berbanding dengan sekuriti pendapatan tetap yang lain.
Kemungkinan Manfaat
- Penggabung pinjaman berskala kecil. Pinjaman bagi projek berskala kecil boleh digabungkan dan disekuritikan untuk mencapai saiz tawaran yang mencukupi bagi pasaran bon. Penandaan pensekuritian sebagai ‘hijau’ atau ‘mampan’ membolehkan pengeluar menggunakan peningkatan permintaan sekuriti dengan manfaat alam sekitar.
- Kos modal yang lebih rendah berbanding dengan pembiayaan bank. Dalam persekitaran faedah tinggi, ABS yang dikeluarkan dalam pasaran bon boleh menjadi penyelesaian yang lebih berkesan kos berbanding dengan pembiayaan bank. Perkara ini sangat penting bagi projek yang mempunyai perbelanjaan modal yang tinggi.
- Menambah baik kecairan aset tidak cair. ABS dapat menambah baik kecairan aset pendasar dengan menggabungkan dan menukarkan pelbagai pinjaman kepada sekuriti boleh niaga. Tindakan sedemikian mengeluarkan aset daripada kunci kira-kira, serta modal yang diperoleh melalui jualan ABS boleh digunakan oleh pengasas pinjaman untuk menulis lebih banyak pinjaman dan mencipta portfolio baharu.
- Menarik bagi pelabur yang menginginkan kepelbagaian portfolio dan premium hasil. ABS memberi pelabur cara mempelbagaikan portfolio. Dengan menghasilkan tranche sekuriti daripada kumpulan aset, pelabur dapat memilih risiko/ganjaran yang paling sejajar dengan toleransi risiko pelabur. ABS juga memberi pelabur premium hasil berbanding dengan tawaran yang lebih tradisional, seperti bon kerajaan atau korporat, dengan penarafan kredit yang sama. Perkara ini menjadikan ABS saluran yang berkemungkinan lebih mudah untuk memperoleh dana bagi projek bandar pintar.
Sumber/Maklumat Tambahan
- Climate bonds initiative (2017). Green securitization. Tersedia di: https://www.climatebonds.net/files/files/March17_CBI_Briefing_Green_Securisation.pdf
- Corporate finance institute (n.a.). Asset-backed securities. Tersedia di: https://corporatefinanceinstitute.com/resources/fixed-income/asset-backed-securities-abs/
- Janus Henderson Investors (2023). 5 reasons to add securitized assets to fixed income portfolios. Tersedia di: https://www.janushenderson.com/en-us/institutional/article/5-reasons-to-add-securitized-assets-to-fixed-income-portfolios/#.~.text=Securitized%20products%2C%20such%20as%20mortgage,than%20other%20fixed%2Dincome%20securities.
- US Securities and Exchange Commission (2014). Asset-Backed Securities. Tersedia di: https://www.sec.gov/spotlight/dodd-frank/assetbackedsecurities.shtml