Alat dan jumlah pembiayaan
Bank Dunia memberikan US$231 juta pinjaman kepada kerajaan Vietnam untuk membiayai Projek Penambahbaikan Persekitaran Air
Latar belakang
Vietnam menghadapi cabaran pengurusan air buangan tidak dirawat yang tidak cekap dan sistem saliran yang tidak mencukupi, terutamanya di kawasan luar bandar wilayah selatan. Kawasan-kawasan ini mempunyai pengumpulan kumbahan dan kebolehan merawat yang terhad, membawa kepada tahap pencemaran yang tinggi dalam sistem sungai berhampiran, menimbulkan risiko kesihatan yang ketara kepada penduduk di kawasan itu.
Oleh sebab itu, langkah menyokong pembangunan sistem pengurusan air buangan yang berkesan adalah penting untuk mewujudkan persekitaran yang lebih sihat dan lebih mampan untuk pertumbuhan yang berpanjangan di wilayah itu. Projek ini meliputi sebuah kawasan berkeluasan melebihi 33,000 hektar, dengan jumlah populasi kira-kira 1.4 juta orang dan merangkumi bandar-bandar seperti Tan Uyen, Thuan An dan Di An. Projek ini menyasarkan untuk meningkatkan pengurusan air buangan daripada bawah 10% kepada 32% di Bandar Tan Uyen, dan daripada 17-19% kepada 45% di bandar Thuan An dan Di An. Pembangunan sistem pengurusan air buangan akan mengambil kira senario iklim masa hadapan, menggunakan penyelesaian cekap tenaga, serta berkembang berdasarkan teori-teori ekonomi kitaran seperti menumpukan kepada kecekapan dan kemampanan sumber.
Pendekatan
Di bawah Projek Penambahbaikan Persekitaran Air Wilayah Binh Duong, Bank Dunia akan meminjamkan US$231 juta kepada kerajaan Vietnam sementara US$80 juta selebihnya akan datang daripada belanjawan Kerajaan Vietnam. Sejumlah US$311 juta diperuntukkan untuk Projek Penambahbaikan Persekitaran Air.
Pinjaman US$231 juta ini jatuh di bawah kategori pembiayaan projek pelaburan bagi pinjaman fleksibel daripada Bank Antarabangsa untuk Pembinaan Semula dan Pembangunan (International Bank for Reconstruction and Development (IBRD)). Bank ini menyediakan pendanaan kepada kerajaan untuk aktiviti yang mewujudkan infrastruktur fizikal atau sosial yang penting untuk mengurangkan kemiskinan dan mewujudkan pembangunan mampan.
Hasil
Projek ini dimulakan pada tahun 2023 dan dijangkakan akan selesai pada tahun 2028. Sebahagian daripada projek ini melibatkan pemerolehan tanah dan penempatan semula penduduk untuk memberikan ruang bagi saluran kumbahan dan pembinaan stesen pam. Perkara ini telah dipertimbangkan dengan teliti dan dibincangkan bersama sebuah pasukan perundingan penempatan semula dan pasukan teknikal berdasarkan kriteria yang berikut: (i) kawasan dengan impak penempatan semula yang terkecil (tanah terbiar, tidak digunakan, tanah pertanian, tanah dengan kepadatan penduduk yang rendah), (ii) kawasan kediaman dengan impak pembinaan boleh diminimumkan. Tanah yang digunakan buat sementara waktu untuk pembinaan pengumpulan kumbahan dan pengembangan rangkaian juga akan dipulihkan kepada keadaan sebelum projek dimulakan, kemudian akan dipulangkan kepada pemilik tanah. Pendekatan yang teliti dan berhati-hati dalam memilih jumlah rumah, orang, pertanian dll., yang terjejas membenarkan kos jangkaan dikekalkan rendah dan didokumenkan dengan baik.
Selain daripada rancangan yang jelas dan teliti, penjelasan kos jangkaan yang teliti dan dibuat terlebih dahulu serta kajian kebolehlaksanaan yang difikirkan dengan baik dan logik membolehkan kerajaan Vietnam mendapatkan pinjaman daripada Bank Dunia untuk membiayai Projek Penambahbaikan Persekitaran Air US$311 juta ini.
Pembelajaran
Dokumentasi jelas bagi kos jangkaan dan penilaian daya maju kewangan meningkatkan keyakinan pelabur untuk memberikan pinjaman
Kerajaan Vietnam telah menyediakan penjelasan yang teliti untuk kos berhubungan dengan pelbagai aktiviti yang berkaitan bagi mencapai matlamat yang ditetapkan dalam Projek Penambahbaikan Persekitaran Air. Butirannya begitu terperinci sehingga merangkumi jumlah dan jenis peralatan yang diperlukan untuk setiap proses, di setiap lokasi. Hal ini membenarkan penganggaran kos yang komprehensif dan tepat dibuat dan mengurangkan kemungkinan timbulnya kos tersembunyi/memandang rendah jumlah dana yang diperlukan untuk projek ini. Hal ini penting untuk memberikan pelabur maklumat penuh yang mereka perlukan untuk membuat keputusan termaklum, serta menjamin bahawa wang itu akan digunakan dengan berhemat dan akhirnya dengan jumlah dana yang ditentukan, membawa kepada kejayaan Projek Penambahbaikan Persekitaran Air.
Pastikan fokus projek itu sejajar dengan nilai teras dana pembangunan
Projek Penambahbaikan Persekitaran Air memiliki objektif-objektif penting untuk menambah baik akses kepada perkhidmatan air buangan dan mengurangkan pencemaran kepada alam sekitar kerana sistem dan amalan pengurusan sisa yang tidak cekap dan tidak mencukupi. Hal ini sejajar dengan nilai teras Bank Dunia untuk mempromosikan kemakmuran bersama di atas planet yang boleh didiami semua orang dan untuk meningkatkan daya tahan negara-negara dan wilayah kepada kejutan, termasuk pandemik dan ketidakkukuhan.
Impak yang jelas dan boleh diukur
Kerajaan Vietnam telah menyediakan pelan pemantauan dan penilaian yang jelas dengan pelbagai penunjuk untuk diawasi sepanjang pelaksanaan projek. Ini termasuk penunjuk seperti jumlah orang yang mendapat akses kepada air kumbahan yang lebih baik, pencemaran tambahan yang disingkirkan oleh loji rawatan air kumbahan (metrik tan/tahun) dan jumlah rumah baharu yang bersambung dengan sistem air kumbahan dll. Tindakan memiliki rancangan yang jelas dan pelbagai metrik yang khusus untuk dipantau adalah penting untuk Bank Dunia memantau dan menilai impak projek tersebut dan menggalakkannya mencapai lebih banyak matlamat besar pembangunan. Ini adalah untuk memastikan sumber digunakan dengan cekap
Sumber/Maklumat Tambahan
- Bank Dunia (2023). Projek Penambahbaikan Persekitaran Air Wilayah Binh Duong. Boleh didapati di: https://projects.worldbank.org/en/projects-operations/project-detail/P173716
- Bank Dunia (2023). Projek Penambahbaikan Persekitaran Air Binh Duong, Pelan Penempatan Semula Yang Dikemas Kini (Updated Resettlement Plan (URP)). Boleh didapati di: https://documents1.worldbank.org/curated/en/099022824200535506/pdf/P1737161c17deb051b5ae1acb23d242fc1.pdf
- Kumpulan Bank Dunia (2024). Bank Dunia Meluluskan Projek Memperbaik Persekitaran Hidup Untuk Lebih Daripada Separuh Juta Rakyat di Selatan Vietnam. Boleh didapati di: https://www.worldbank.org/en/news/press-release/2024/01/12/world-bank-approves-project-to-improve-living-environment-for-over-half-a-million-people-in-southern-vietnam
- Kumpulan Bank Dunia. Produk Kewangan IBRD. Boleh didapati di: https://treasury.worldbank.org/en/about/unit/treasury/ibrd-financial-products/ibrd-flexible-loan
- Kumpulan Bank Dunia. Pembiayaan. Boleh didapati di: https://www.worldbank.org/en/what-we-do/products-and-services/financing-instruments
- Dokumen Bank Dunia (2022). Penilaian Impak Persekitaran dan Sosial Projek Penambahbaikan Persekitaran Air Binh Duong. Boleh didapati di: https://documents1.worldbank.org/curated/en/228011610542687158/pdf/Revised-Environmental-and-Social-Impact-Assessment-Vietnam-Binh-Duong-Water-Environment-Improvement-Project-P173716.pdf