Keterangan
Jaminan merupakan mekanisme peningkatan kredit bagi alat hutang (pinjaman atau bon). Jaminan mewakili perjanjian berkontrak oleh penjamin untuk membayar wang pokok dan/atau faedah kepada pemberi pinjaman, iaitu jumlah yang telah dijamin sekira berlaku kegagalan pembayaran. Peruntukan ini penting kerana risiko pelaburan dikurangkan dengan ketara untuk membolehkan pembiaya sektor swasta memberikan pembiayaan bagi projek yang penting. Kajian telah menunjukkan bahawa kadar kegagalan pembayaran bagi transaksi yang dijamin adalah agak rendah, yang menunjukkan bahawa dalam sesetengah kes, risiko tanggapan melebihi risiko sebenar, serta bahawa peruntukan jaminan boleh kemudiannya mengurangkan kos untuk sektor awam memenuhi objektif pembangunan.
Jaminan boleh digunakan pada pelbagai situasi untuk menambah baik capaian peminjam kepada modal. Sebagai contoh, banyak organisasi pembangunan antarabangsa menawarkan jaminan kredit separa (PCG) atau jaminan risiko separa (PRG). Jaminan kredit separa memberi pemberi pinjaman dan pelabur perlindungan kredit komprehensif bagi bahagian pinjaman atau bon yang telah dijamin oleh organisasi pembangunan antarabangsa sekiranya berlaku kegagalan pembayaran. Jaminan risiko separa melindungi pemberi pinjaman sekiranya peminjam tidak membuat bayaran disebabkan oleh peristiwa risiko politik. Penggunaan lain ialah skim jaminan kredit awam (PCGS) yang boleh digunakan oleh kerajaan untuk mendapatkan kewangan bagi pelbagai objektif, termasuk pinjaman bagi perusahaan kecil dan sederhana (SME). Dalam konteks ini, skim memberikan pengurangan risiko kredit pihak ketiga kepada pemberi pinjaman dengan menyerap bahagian rugi sekiranya berlaku kegagalan pembayaran, biasanya sebagai tukaran untuk bayaran.
Syarat Pemungkin dan Pertimbangan Utama
- Usul projek yang jelas. Pemberi pinjaman dan penjamin perlu menaksir kebolehlaksanaan teknikal dan kewangan projek sebelum meluluskan jaminan. Usul projek yang disediakan dengan baik dengan tujuan, skop dan hasil yang jelas, yang menunjukkan daya maju kewangan projek dapat meningkatkan daya tarikan projek, dengan itu meningkatkan kebarangkalian untuk mendapatkan jaminan.
- Hubungan kerja yang sedia ada. Kehadiran hubungan kerja terdahulu menyumbang secara ketara kepada keyakinan dan kerjasama keseluruhan yang diperlukan untuk mendapatkan jaminan. Sejarah kerjasama yang berjaya atau transaksi kewangan terdahulu membina keyakinan pemberi pinjaman dan/atau penjamin terhadap kebolehpercayaan dan kecekapan peminjam, serta boleh menjadi sangat berguna semasa proses perundingan.
- Kekonsistenan dalam rangka kerja kawal selia. Persekitaran undang-undang yang konsisten memberikan asas yang terjamin bagi penjamin, peminjam dan pemberi pinjaman berkenaan dengan kewajipan kontrak dan mekanisme pertikaian. Kebolehramalan ini meningkatkan keseluruhan penilaian risiko bagi penjamin dan pelabur dengan menanam keyakinan terhadap kebolehlaksanaan aturan jaminan.
Kemungkinan Cabaran
- Kemungkinan kerumitan dalam menjajarkan jangkaan pihak yang terlibat. Jaminan menambah kerumitan transaksi pinjaman dengan menyertakan sekurang-kurangnya satu pihak tambahan dalam aturan. Oleh itu, penjajaran faedah dan jangkaan berbilang pihak yang terlibat adalah penting. Perkara ini termasuklah penjajaran aspek seperti jangkaan impak urus niaga dan cara impak akan diukur, persetujuan tentang lapisan perkongsian risiko, garis masa pencapaian persetujuan urus niaga dan keseluruhan matlamat jangka panjang bagi setiap pihak.
- Risiko bahaya moral. Skim jaminan yang tidak dirancang dengan baik boleh meningkatkan risiko bahaya moral memandangkan risiko kegagalan pembayaran kini telah sebahagiannya dipindahkan kepada penjamin. Sebagai contoh, peminjam mungkin kurang berhati-hati dalam pengurusan atau keputusan kewangan projek kerana menganggap bahawa penjamin akan menampung kos kegagalan pembayaran. Jika risiko ini tidak ditangani dengan betul atau diurus sewajarnya, kegagalan pembayaran yang berulang dapat menjejaskan kewangan kerajaan tempatan pada masa akan datang. Kewajipan kontrak yang jelas, insentif yang terjajar dan pemerhatian yang berkesan dapat menghalang pihak daripada terlibat dalam tingkah laku penanggungan risiko yang berlebihan.
Kemungkinan Manfaat
- Meningkatkan kepercayaan kredit. Jaminan dapat meningkatkan kepercayaan kredit alat hutang, seperti jaminan bon atau jaminan pinjaman. Dengan memberikan jaminan bahawa kewajipan pembayaran balik akan dipenuhi walaupun berlaku peristiwa yang buruk, jaminan membuatkan projek lebih menarik kepada pemberi pinjaman. Perkara ini seterusnya dapat menghasilkan terma pembiayaan yang lebih baik, seperti kadar faedah yang lebih rendah atau tempoh pembayaran balik yang lebih lama.
- Memudahkan capaian kepada pemberian pinjaman sektor swasta. Kehadiran jaminan dalam projek dapat menarik kumpulan pelabur yang lebih besar, termasuk pelabur daripada sektor swasta yang mungkin teragak-agak untuk mengambil bahagian tanpa jaminan dan lapisan perkongsian risiko tambahan. Perkara ini seterusnya menggalakkan pelaburan dalam sektor yang mungkin tidak dipertimbangkan oleh pelabur sebelum ini, seperti projek hijau atau mampan bagi bandar pintar
Sumber/Maklumat Tambahan
- ADB (2023). Guarantees. Tersedia di: https://www.adb.org/what-we-do/private-sector-financing/guarantees
- IMF (2016). Government guarantees, transparency, and bank risk-taking. Tersedia di: https://www.imf.org/external/np/res/seminars/2016/arc/pdf/Cordella_Dellariccia_Marquez_Session4.pdf
- GuarantCo (n/a). About Guarantco. Tersedia di: https://guarantco.com/about-guarantco/
- OECD (n/a). Facilitating access to finance – discussion paper on credit guarantee schemes. Tersedia di: https://www.oecd.org/global-relations/45324327.pdf