Keterangan
Pinjaman berjangka merupakan aturan kewangan berasaskan hutang yang biasa apabila peminjam menerima wang sekali gus daripada institusi kewangan, seperti bank, serta bersetuju untuk membayar balik pinjaman tersebut dalam tempoh tertentu yang dikenali sebagai jangka pinjaman. Tidak seperti kemudahan kredit pusingan, pinjaman berjangka mempunyai jadual pembayaran balik tetap, yang biasanya terdiri daripada ansuran bulanan yang menjadikan pinjaman ini bentuk hutang yang berstruktur. Pinjaman berjangka dapat digunakan untuk pelbagai tujuan, termasuk pembiayaan perbelanjaan modal, projek pengembangan, pembelian peralatan atau pemenuhan keperluan modal kerja jangka panjang. Pinjaman ini boleh mempunyai kadar faedah yang tetap atau berubah-ubah, serta tempoh pembayaran balik boleh menjadi jangka pendek atau panjang, bergantung pada sifat pinjaman dan tujuan pinjaman diperoleh.
Pinjaman berjangka boleh dijamin dengan mencagarkan aset atau tidak dijamin dengan bergantung semata-mata pada kepercayaan kredit peminjam. Terma dan syarat pinjaman berjangka biasanya digariskan dalam perjanjian rasmi, termasuk butiran seperti kadar faedah, jadual pembayaran balik, caj yang berkaitan dan pilihan prapembayaran.
Syarat Pemungkin dan Pertimbangan Utama
- Kepercayaan kredit bandar. Kepercayaan kredit bandar membentuk terma dan syarat dengan ketara yang dapat dijamin dalam pinjaman berjangka. Bandar yang mempunyai kepercayaan kredit yang kukuh biasanya layak mendapat kadar faedah dan terma pembayaran balik yang lebih baik. Penaksiran kepercayaan kredit bandar bergantung pada penyata kewangan bandar tersebut, termasuk penyata pendapatan, penyata kunci kira-kira dan penyata aliran tunai. Semasa menaksir kesihatan kewangan bandar, bank akan mencari penunjuk seperti aliran hasil yang stabil, tahap hutang yang boleh diurus dan aliran tunai yang positif.
- Keupayaan untuk membayar balik pinjaman. Faktor utama dalam keputusan bank untuk memberikan pinjaman berjangka bergantung pada keupayaan bandar atau projek untuk membayar balik wang pokok dan faedah pinjaman tersebut. Perkara ini biasanya merangkumi pemeriksaan yang teliti tentang aliran hasil bandar atau projek, peruntukan belanjawan dan amalan pengurusan kewangan oleh bank. Keupayaan pembayaran balik yang kukuh menanam keyakinan terhadap pihak bank, yang meyakinkan bank tentang keupayaan bandar untuk memenuhi kewajipan hutang.
- Keupayaan untuk menguatkuasakan terma pinjaman. Bank memerlukan jaminan bahawa bandar akan mematuhi semua keperluan undang-undang dan kawal selia untuk menjamin pinjaman berjangka. Jaminan ini terdiri daripada pemahaman tentang kuasa bandar untuk membuat pinjaman dan mendapatkan hutang, pengesahan kesahan tujuan penggunaan dana dan pemastian keupayaan bank untuk menguatkuasakan terma pembayaran balik. Persekitaran kawal selia yang stabil memberikan asas bagi pelaksanaan dan penguatkuasaan pinjaman berjangka yang berjaya
Kemungkinan Cabaran
- Bandar mungkin menghadapi cabaran untuk mendapatkan kadar yang baik. Bandar yang memiliki pengadaran kredit yang lebih rendah atau sejarah ketidakstabilan kewangan mungkin menghadapi cabaran untuk menjamin terma yang baik bagi pinjaman berjangka. Kepercayaan kredit yang terhad boleh menyebabkan kadar faedah yang lebih tinggi, syarat pembayaran balik yang ketat malah kesukaran untuk memperoleh pinjaman. Penambahbaikan kepercayaan kredit bandar melalui amalan pengurusan kewangan yang baik menjadi penting untuk mengatasi cabaran ini.
- Kebimbangan tentang daya maju projek boleh menghalang pinjaman. Jika pinjaman berjangka bertujuan untuk membiayai projek tertentu, kebimbangan tentang daya maju dan kejayaan projek boleh menghalang kelulusan pinjaman. Pemberi pinjaman boleh meneliti pelan perniagaan projek, tujuan penggunaan dana, keupayaan bandar untuk berjaya melaksanakan projek, serta kemungkinan impak ekonomi, alam sekitar atau sosial projek tersebut. Komunikasi yang jelas dan pelan projek yang terperinci dapat menangani masalah ini.
- Keadaan makroekonomi boleh menjejaskan kadar pemberian pinjaman dengan ketara. Ketidakpastian keadaan ekonomi yang berasal daripada faktor di luar kawalan bandar, seperti ketidakstabilan politik, kemelesetan, pandemik dll., boleh menimbulkan cabaran bagi bandar yang ingin mendapatkan pinjaman berjangka. Pemberi pinjaman mungkin lebih berhati-hati semasa tempoh ketidakpastian ekonomi. Perkara ini akan mempunyai impak yang ketara terhadap kelulusan pinjaman dan kadar faedah.
Kemungkinan Manfaat
- Aturan pembayaran balik adalah berstruktur dan boleh diramal. Pinjaman berjangka menawarkan jadual pembayaran balik yang berstruktur dan boleh diramal untuk memberi bandar kejelasan dan kestabilan dalam perancangan dan pengurusan kewangan. Tidak seperti pinjaman kredit atau kredit pusingan, pinjaman berjangka mempunyai kadar faedah yang tetap dan tempoh pembayaran balik yang telah ditetapkan, mengurangkan ketidakpastian yang berkaitan dengan kadar faedah yang turun naik. Jadual pembayaran balik yang boleh diramal turut membolehkan pembelanjawanan dan peruntukan sumber yang lebih baik sepanjang jangka pinjaman.
- Pilihan pembiayaan yang tidak rumit, serta jelas dan mudah. Tidak seperti aturan kewangan yang lebih rumit seperti bon perbandaran atau skim pembiayaan pada bil yang mungkin memerlukan penyertaan pasaran modal yang lebih canggih, pinjaman berjangka menawarkan kesederhanaan dan kebolehcapaian kepada bandar. Bandar boleh mengurus proses pemerolehan pinjaman dengan agak mudah, yang membolehkan bandar mendapatkan pembiayaan tanpa memerlukan struktur kewangan yang terperinci atau pemahaman yang mendalam tentang pasaran modal, seterusnya menjadikan pinjaman ini pilihan pembiayaan yang praktikal, serta jelas dan mudah untuk meraih modal bagi projek pembangunan yang penting
Sumber/Maklumat Tambahan
- Standard Chartered (n.a.). Term Loans. Tersedia di: https://www.sc.com/gh/business/working-capital/term-loans/
- Globalwaters (2011). Developing sustainable and inclusive urban infrastructure services. a guidebook for project implementers and policy makers in India, Chapter 6 urban infrastructure financing. Tersedia di: https://www.globalwaters.org/sites/default/files/6-Chapter%206.pdf
- World Bank (n.a.). City creditworthiness initiative, a partnership to deliver municipal finance. Tersedia di: https://www.worldbank.org/en/topic/urbandevelopment/brief/city-creditworthiness-initiative